Ketika aku mengiringi dan mendukungmu
Tidak terasa beban di pundak bahu
Kerana lebih berat hati ini menanggung rindu dan perasaan yang membadai
Berjuang mengatur nafas di dalam keributan dada yang menghimpit kewarasan
Dan dengan kaki yang telanjang memijak bumi
Saat aku mendakapmu erat bagai tidak mahu melepaskan
Bagai antara sedar aku merelakan
Ku biarkan kau beradu bersama asalmu
Berselimut dan sunyi
Dan di saat itu aku bagai mabuk dan mamai
Sanak dan saudara yang ramai tidak bisa memberikan keriuhan
Hanya terpegun, diam dan merenung jauh
Tiada kata yang indah dapat menghilangkan resah
Tiada wajah dapat menggembirakan jiwa yang lara
Dan semakin lama, semakin rindu itu membadai dan menderu
Semakin terhimpit nafas dan berat dadaku
Kerana aku tahu, inilah akhirnya kenangan yang dapatku nukilkan dalam ingatan ini
Dari mula ku bernafas hingga kau di sini
Hanya sempadan senipis pakaian putihmu jarak yang memisahkan kita
Namun tak tercapai untukku gapai
Tiada bahasa untukku menutur kata
Kini hanya titipan doa bahasa kita
Kerana aku mahu kau faham dan tahu
Ini bukan sekadar perjalanan akhirmu, bondaku.
No comments:
Post a Comment