Friday, September 22, 2017

Bicara Kepada Bonda

Ketika aku mengiringi dan mendukungmu
Tidak terasa beban di pundak bahu
Kerana lebih berat hati ini menanggung rindu dan perasaan yang membadai
Berjuang mengatur nafas di dalam keributan dada yang menghimpit kewarasan

Dan dengan kaki yang telanjang memijak bumi
Saat aku mendakapmu erat bagai tidak mahu melepaskan
Bagai antara sedar aku merelakan
Ku biarkan kau beradu bersama asalmu
Berselimut dan sunyi

Dan di saat itu aku bagai mabuk dan mamai
Sanak dan saudara yang ramai tidak bisa memberikan keriuhan
Hanya terpegun, diam dan merenung jauh
Tiada kata yang indah dapat menghilangkan resah
Tiada wajah dapat menggembirakan jiwa yang lara

Dan semakin lama, semakin rindu itu membadai dan menderu
Semakin terhimpit nafas dan berat dadaku
Kerana aku tahu, inilah akhirnya kenangan yang dapatku nukilkan dalam ingatan ini
Dari mula ku bernafas hingga kau di sini

Hanya sempadan senipis pakaian putihmu jarak yang memisahkan kita
Namun tak tercapai untukku gapai
Tiada bahasa untukku menutur kata
Kini hanya titipan doa bahasa kita
Kerana aku mahu kau faham dan tahu
Ini bukan sekadar perjalanan akhirmu, bondaku.

Thursday, August 10, 2017

Menulis Takdir

Hidup meniti gelombang
Terkadang meluncur laju
Terkadang dihempas badai
Samudera luas sebuah perjuangan
Mencari pantai yang damai

Hidup dalam perjalanan yang panjang
Penuh liku dan persimpangan
Tak putus pilihan dan percaturan
Terkadang termangu mencari arah tuju
Terkadang sesat di jalan yang lurus

Dan seringkali kita terlupa peta di tangan
Terpedaya dengan persona di hadapan mata
Sering kita menyesal dan kembali pula melakukan kesilapan
Ada yang tewas sebelum berjuang
Ramai yang hanyut dan karam

Dan selagi belum tertulis menjadi episod semalam
Bangkitlah merajai setiap gelombang, liku dan setiap persimpangan
Dan jika hari ini masih tidak dapat dimiliki
Berjuanglah hari demi hari
Kerana tiada sesiapa pun pernah dan telah- memiliki hari esok
Menulis takdir esok

Monday, August 7, 2017

Nasab dan Hisab

Dahulu kala orang-orang tua sudah perhitungkan
Susur galur ibni si polan dan si polan bergenerasi
Peta nasab keluarga yang suci

Kata Raja ke-3, bermainlah dengan anak panah
Berbicaralah, dengan ilmu;

1 daripada 2 bahagian
1 daripada 3 bahagian
2 daripada 3 bahagian
1 daripada 4 bahagian
1 daripada 8 bahagian

7 waris fardhu
12 waris ta'shib
Terkadang fardhu, terkadang ta'shib
Terkadang kedua-dua, hanya ada 2
Terkadang fardhu, terkadang ta'shib
Tak mungkin kedua-duanya, ada 4
Ashabul furudh kepada 12 orang;

Apakah kau mengerti
Takut jikalau tersuap api
Apakah kau fahami
Ini hisab soalnya nasab
Ini nasab yang dipenuhi hisab

Antara yang awal dibawa pergi
Antara yang akhir diambil peduli