Menjengah ke halaman ingatan yang makin dihakis masa
Hanya yang sebarangan semakin kalut dan semakin bingung
Biar berdekad perjalanan ditempuhi
Yang tinggal terkadang hanya kepingan-kepingan yang tiada mula dan akhir
Semakin lama semakin hidup ini hanya cuma sehela nafas
Betapa mudah untuk meriwayatkan ceritera
Ada yang kau ingin ianya sentiasa ada namun, semakin ianya kau lupa
Ada yang ingin dihumban ke suatu daerah terdalam tak bernama namun, semakin itu juga ianya kerap bertamu bertanya apa khabarmu
Dan kau semakin cerewet untuk memilih apa yang perlu
Dan semakin itu kau dapati hanya ada sengsara untuk mengingati apa yang terbaik untuk disimpan
Kerana kau cuba memaksa sesuatu yang tak pernah memberikan kau pilihan
Sesuatu yang tak pernah memberikan kau harapan
Ianya dekat dan sangat karib kepadamu; namun ianya tak pernah mahu menghulurkan persahabatan
Apa lagi hanya memberi apa saja yang kau mahu
Dan semakin lama, kau semakin larut padanya
Kau hanyut dibawanya, ke alam yang kau tak perlu punca dan pengakhiran
Dan kau hanya mengikut ke mana ia mahu; menjelajah seluruh dunia sedar dan khayalmu
Membawa riwayat hidup yang panjangnya cuma sekelipan mata.
No comments:
Post a Comment