Wednesday, May 7, 2014

Separuh Iman

Belumkah sampai waktunya mentari mahu menjengah
Memberi sinar cahaya menerangi kegelapan malam
Bila kau harungi malam terpanjang
Hanya bertemankan jiwa yang terlanjang

Di saat setiap detik tidak mampu dibilang
Dan malam semakin kejam mencengkam
Tiada seorang pun bisa menemani
Tiada ramai yang mampu memeriahkan

Dan bila reda perasaan yang membadai
Hanya sedetik ianya kembali berperang
Menikam tubi seluruh pancainderamu
Bertanya ia tentang umur yang tinggal tersisa

Dan selama malam ini masih kejam
Dia akan terus lagi bertanya
Dan kau cuba memujuk hati dengan jawapan
Jawapan yang kau benar pasti- tidak pernah menjawab persoalan ini
Dan dalam peperangan ini, kau amat mengerti
Kau hanya sendiri ( lagi)



Tuesday, May 6, 2014

Di Bumi Kenangan

Malam; masanya mula dirimu dilanda kenangan
Menjengah ke halaman ingatan yang makin dihakis masa
Hanya yang sebarangan semakin kalut dan semakin bingung
Biar berdekad perjalanan ditempuhi
Yang tinggal terkadang hanya kepingan-kepingan yang tiada mula dan akhir

Semakin lama semakin hidup ini hanya cuma sehela nafas
Betapa mudah untuk meriwayatkan ceritera
Ada yang kau ingin ianya sentiasa ada namun, semakin ianya kau lupa
Ada yang ingin dihumban ke suatu daerah terdalam tak bernama namun, semakin itu juga ianya kerap bertamu bertanya apa khabarmu
Dan kau semakin cerewet untuk memilih apa yang perlu
Dan semakin itu kau dapati hanya ada sengsara untuk mengingati apa yang terbaik untuk disimpan

Kerana kau cuba memaksa sesuatu yang tak pernah memberikan kau pilihan
Sesuatu yang tak pernah memberikan kau harapan
Ianya dekat  dan sangat karib kepadamu; namun ianya tak pernah mahu menghulurkan persahabatan
Apa lagi hanya memberi apa saja yang kau mahu

Dan semakin lama, kau semakin larut padanya
Kau hanyut dibawanya, ke alam yang kau tak perlu punca dan pengakhiran
Dan kau hanya mengikut ke mana ia mahu; menjelajah seluruh dunia sedar dan khayalmu
Membawa riwayat hidup yang panjangnya cuma sekelipan mata.