Wahai Zulqarnain,
Penguasa Timur dan Barat,
Tunjuk ajarlah pada manusia yang buta, erti ketamadunan,
Tetapkanlah hati dan pengetahuan pada mereka yang mengetahui,
Takdir ini milikmu, wahai sang Raja,
Ikutilah petunjuk ke jalan-jalan yang diredhai-Nya,
Tunaikanlah amanatmu
Wahai Penguasa Timur dan Barat,
Dari sisi Qattara pada suatu kaum di Siwah,
Tunjukkanlah mereka kebenaran dengan ilmu dan kekuasaanmu,
Agar mereka tahu dan mengerti,
Kau datang membawa cahaya untuk menerangi
Wahai sang Raja,
Perjalanan yang jauh ini melangkaui batas sempadan ketamadunan,
Kau temui pelbagai ranjau rintangan,
Pada suatu kaum yang tidak mempunyai apa-apa,
Pada suatu kaum yang sukar kau fahami bahasanya di Lembah Fergana,
Tunjukkan, ajarkan dan lindungilah manusia dengan tembok pemisah dan kekuatanmu
Wahai Pemilik Dua Tanduk,
Seringkali kami berbalah tentang siapa dirimu, asalmu dan keperibadianmu,
Apalah ada pada cerita pada kalam penglipurlara sejarah yang mengabui,
Kau Raja Zulqarnain pilihan Tuhan,
Taqwa dan imanmu bukan suatu persoalan
Dan dari kisahmu ini wahai Zulqarnain; kami mengerti,
Bukanlah kerana betapa ramainya soldadu kau punyai,
Bukanlah kerana betapa ramainya manusia kau tawani,
Bukanlah kerana betapa luas tanah jajahan yang kau takluki,
Hanya kerana betapa mulianya kau di sisi Tuhan,
Sebagai pelajaran dan tauladan manusia sepanjang zaman,
Penguasa dunia yang berpaksi teguh pada iman