Monday, December 22, 2008

Saudara Kami Jutawan Melayu

Kau jutawan Melayu
Rumahmu tinggi di atas bukit, berjuta ringgit
Kenderaanmu selalu sahaja terlebih laju
Makan di atas set kristal, perak dan seramik luar negara
Baju berbutik sahaja kau ada

Kau jutawan Melayu
Teratak kami tak pernah kau tahu alamatnya
Kenderaan kami hanya penyendal jalan raya
Makanan kami tak pernah kau kenal rupanya
Kedai pukal butik pilihan kami

Manalah bisa kau terima hakikat;
Rumahmu berjuta ringgit menyembah bumi
Menumpang kenderaan tempatan kami
Makan nasi bungkus bagai PATI
Pakai baju sedekah kami

Manalah kami tahu betapa hinanya ditempatkan di hotel
berbintang sebagai tempat tumpang
Manalah kami tahu nasi bungkus mahal tidak lancar untuk
kau hadamkan
Manalah kami bisa tahu baju kami gatal dipakai
Manalah kami tahu, wahai saudaraku jutawan Melayu

Marilah,
Kita bersama di surau kami berganda besarnya dari masjidmu.

Monday, December 15, 2008

Aku dan Melayu Ku

Semalam ku lihat Melayu yang penuh senyuman
Berbekal salam sepanjang jalan
Tinggi lambaian setinggi hasrat dan harapan

Aku tak pernah sunyi
Sanak saudara keliling kampung
Aku dan Melayu ku, adik beradik beranak pinak
Aku adik, aku abang
Aku pakcik, akulah tok

Hari ini aku Melayu yang sunyi
Ramai Melayu ku tak kenal lagi bunyi beduk di masjid
Tak kenal lagi tiang bendul resam sendiri
Melayu ku mati berdiri

Melayu ku jadi kayu
Tukang ukur resam gasar ke badan sendiri
Ukir akidah berbunga khuldi

Friday, December 12, 2008

Menadah Bala

Malaysiaku hanya sehasta
Tak jauh dipandang mata
Kiri kanan depan belakang
Tumbuk rusuk sampai terlentang bungkang

Bukit dan gunung habis disondol
Yang tinggal tak lama nak gondol
Pasang siap nama pembangunan
Duit berkepok berguni di tangan

Roboh punah teriak gempita
Esok lusa orang dah lupa
Onar tulat siapa yang tahu
Hidup biar senang ke anak cucu (hidup?)

Senyum rakyat marhain tiada harga
Ini cerita orang-orang kaya
Kami tengok geleng kepala
Semacam menadah memohon bala

Hidup biar aman damai
Jangan sebab ada sedikit pandai, kita cuai
Hidup diberi hanya sementara
Mati cuma seinci di depan muka

Wednesday, December 10, 2008

Pagi dan Petang

Hidup ini ada pagi dan petang
Dari hijau pucuk sampai ke santak lahad
Pada pagi ada pelajaran, petang pula membawa janji
Langkah batas waktu hanya sekangkang

Dalam hidup mohonkan bahagia
Tapi nasib tidak serupa
Ada bahagia ada celaka
Ada ceria ada nestapa

Celaka pagi bahagia petang
Pagi dilaknat petang diredhai
Celaka pagi terisi hikmah
Bawa insaf sebagai isi

Bahagia pagi celaka petang
Senja hari mengundang laknat
Hangus bakti di pagi hari
Membuang teman di hujung jalan

Mohonkan kami bahagia keduanya
Mohonkan kami keredhaan selamanya
Mohonkan kami hidup dan mati kerana-Nya