Friday, October 11, 2013

Radio Di Dalam Kapsul Masa

Mobil tua mu masih pantas meluncur
Meredah kota yang lebih pantas hidupnya
Berteman radio pagi, coleteh deejay yang popular melebihi pak menteri
Sarat iklan, sarat lagu ulangan
Sarat dengan jenaka buatan

Seringkali ada saja lagu berkumandang
Lagu yang biasa, tapi kau takkan bisa mengingati siapa penyanyinya
Lagu Melayu, tapi kau tahu ianya dari seberang
Tanda lagu tempatan dunianya makin padam

Sesekali kau akan menyanyi
Itupun sekiranya ada lagu yang kau kenal dulu
Pada suatu zaman yang sangat purba untuk generasi kini kenali
Suatu zaman komputer sebesar seunit pangsapuri

Kerap kali siaran radio bertukar stesen
Kerana kau mencari sesuatu yang bisa membantu tatkala memandu
Bukan hanya sekadar info trafik
Yang lebih utama mood memandu

Pada akhirnya jika kau tak ketemui apa yang dicari
Pendrive telah tersedia sebagai pilihan
Mobil tua tidak terjerat dalam teknologi lama
Mobil tua dalamnya masih muda
Kerana sang pemandu masih amat remaja umurnya
Terperangkap dalam lingkupan nostalgia
Dalam fantasi dan mimpi yang lama dah pergi.


Sunday, October 6, 2013

Baitulmal Untuk Si Miskin

Redha amat enteng pada bicara
Sentiasa menghiasi bibir-bibir pemidato di pangkin mussolla
Berdarjatkan kopiah dan berjubah putih, sedikit ilmu di saluran TV berbayar
Kisah redha dan berserah

Ikhlas dalamnya penuh cerita
Daripada ustaz dan ustazah yang kian bercambah di social media
Yang khatam Al-Quran dan hafal sedikit sebanyak Hadis sahih
Atau yang penuh kitab-kitab ilmunya dalam tablet PC
Perihal ikhlas dan tulus

Sabar juga mudah diperolok-olokkan
Oleh jagoan-jagoan sabar seluruh alam
Yang hanya bertempik di jalan raya
Atau yang hanya mengamuk kerana politik
Atau tatkala subsidi diberi kurang

Iman dan taqwa kini bisa dibeli
Kalau bukan pakej umrah dan haji 5 bintang
Amal jariah dengan publisiti akhbar pun bisa terluang
Atau melalui yayasan-yayasan konglomerat atas dasar CSR
Yang bisa ditolak cukai pendapatan
Dan bisa pula terpapar imej korporat penyayang

Dan untuk sekelian kalinya dapat juga kita mengerti
Untuk sadaqah jariah ini, walaupun ada Porsche dan Ferrari
Asnaf jahil dan miskin pengertian ini takkan bisa ditampung Baitulmal