Meredah kota yang lebih pantas hidupnya
Berteman radio pagi, coleteh deejay yang popular melebihi pak menteri
Sarat iklan, sarat lagu ulangan
Sarat dengan jenaka buatan
Seringkali ada saja lagu berkumandang
Lagu yang biasa, tapi kau takkan bisa mengingati siapa penyanyinya
Lagu Melayu, tapi kau tahu ianya dari seberang
Tanda lagu tempatan dunianya makin padam
Sesekali kau akan menyanyi
Itupun sekiranya ada lagu yang kau kenal dulu
Pada suatu zaman yang sangat purba untuk generasi kini kenali
Suatu zaman komputer sebesar seunit pangsapuri
Kerap kali siaran radio bertukar stesen
Kerana kau mencari sesuatu yang bisa membantu tatkala memandu
Bukan hanya sekadar info trafik
Yang lebih utama mood memandu
Pada akhirnya jika kau tak ketemui apa yang dicari
Pendrive telah tersedia sebagai pilihan
Mobil tua tidak terjerat dalam teknologi lama
Mobil tua dalamnya masih muda
Kerana sang pemandu masih amat remaja umurnya
Terperangkap dalam lingkupan nostalgia
Dalam fantasi dan mimpi yang lama dah pergi.