Tuesday, October 23, 2012

Perjalanan Hikmah


Angan ini ingin ku pegang
Menjadi zahir untuk ditunjukkan
Tanda kasihku yang tak terbilang
Buat insan-insan yang tersayang

Aku tidak pernah terpaksa
Menjejak duri-duri dalam perjalanan
Ini jalan-jalan hikmah
Aku hanya mengharapkan redha Tuhan

Jatuh dan tersungkur sudah jadi mainan
Namun tanpa sekali pernah ku lahirkan kesal
Melangkaui segala garis sempadan
Pengorbanan perlukan cinta dan kefahaman

Aku ini seorang bapa
Ku tunjukkan padamu wahai anak
Biar dihentam badai samudera
Pegangan ini jangan sesekali kau lupakan
Kerana esok pasti tiba harimu
Kerisauanku kini bakal menjadi kerisauanmu
Perjalanan hikmah ini akan menjadi perjalanan hikmahmu
Sabarlah, pengorbanan semestinya memerlukan kefahaman dan kasih sayang
Sebagaimana kini, tak luput aku mencintai
Demi memegang angan-anganku menjadi pasti.


Definisi Hidup

Frustasi;
Melingkari
Membeliti
Merantai
Membelenggu rasional

Harapan;
Melingkari
Membeliti
Merantai
Membelenggu realiti

Realiti;
Melingkari
Membeliti
Merantai
Membelenggu justifikasi

Hidup;
Frustasi
Harapan
Realiti


Sunday, October 21, 2012

Ini Baru Rock!

Rambut ku panjang lepas ke bahu
Ramai mata memandang ku buat tak tahu
Walau ramai rockers sudah botak kepalanya
Aku tetap mahu rock sampai tua
Tak peduli apa orang nak kata
Aku ini bukan sebarang manusia

Ku tendang masuk pintu U
Sebagai pelajar tua yang dahaga ilmu
Semangat pemberontak ini ku bawa
Biar tak nampak apa di dalam dada
Rambut panjang ku punya cerita

Sahsiah bukan hanya pada rupadiri
Tapi ini kehendak birokrasi, aku tak punya kuasa
Rocker pun manusia juga
Ke surau, kenduri kendara ada berjasa

Malang nasib rambut panjang ku
Semenjak ke U nasibmu tak menentu
Sempena Aidil Adha bakal menjelang
Walau tak dapat lembu, kambing untuk korban
Aku relakan Ah Soh saloon memisahkan 
Bukan sedikit air mata (di dalam hati) berlinangan
Demi ilmu yang lebih ku sayang
Semangat pemberontakan ini tetap diteruskan.





Tuesday, June 19, 2012

Aku Masih Boleh Merokok Lagi

Sebatang rokok Dunhill diulit asyik
Bertebaran bunga asap beraneka rona
Sambil merenung jauh kepekatan malam di hujung serambi rumah pangsa
Memikirkan bagaimana mahu membenci hobi yang tercinta

Walau duit tak kunjung habis, perut penuh berisi
Namun hati tetap tak keruan, tiap kali kalau hanya tinggal sebatang di tengah malam
Berpelikat menuju ke 7E, mencari isi

Setiap kali melihat ianya bernyala dan terbakar
Ibarat melihat festival bunga api yang mengasyikkan
Beribu wang ringgit tinggal debu melayang
Kalau disimpan dalam tabung, sudah haji tahun depan

Batuk datang kadang-kadang, tapi sentiasa berpanjangan
Tak kira musim buah atau musim hujan, sentiasa malar dan tegar
Ah, ubat batuk bermacam jenis, pasti ada satu yang rasi
Esok pagi boleh hisap rokok lagi

Sebatang Dunhill dihisap dalam-dalam
Masih lagi niat ingin membenci kerakusan nafsu sendiri
Tatkala jari menjentik putung, ingin sekali aku menghantar kebodohan ini ke longkang
Namun apa daya, masih tinggal banyak lagi baki
Tunggulah...aku masih boleh merokok lagi