Tuesday, November 10, 2009

Menyelusuri Rahmat

Khabarkan pada semua,
Aku ini hanya hamba,
Ada masa aku datang,
Ada ketikanya aku pergi,
Aku tak pernah dijemput bertandang,
Aku pergi tidak dihalang,
Biarkan aku dengan pengabdian hidupku,
Mencari jalan-jalan menjiwai fitrah hambaku.

Kirimkan salamku pada semua,
Tanda doa dan ingatanku,
Tanda kita pernah bersua,
Tanda kita masih bersaudara,
Namun perjalanan masa dan keinginan tidak kan pernah bersama,
Kenangan hanya suatu persinggahan,
Masa kini hanya sebuah perjalanan.

Andai di suatu masa,
Kita bersua dalam suatu perjalanan yang sama,
Akan aku nukilkan setiap titip-titip kembaraku,
Mencari erti pengabdian ke pangkal rahmat Penciptaku,
Menyelami makna syukur dan berserah,
Menyelusuri ikhlas dan sabar,
Pada destinasi yang kita tujui,
Pada hujung yang pasti kita kembali.

Friday, January 16, 2009

Mengundang Izrail


Perjalanan ini sesingkat kelipan mata
Dari hujung kaki ke hujung rambut
Tiada satu yang bisa dimiliki
Tiada sisa kekal abadi

Kami ini tanah pati yang kau ambil dari bumi
Dan kau sembahkan ia pada Illahi
Jadilah ia asal keturunan kami di dunia
Kembali kami dari tempat ianya bermula

Dan apabila kami tiba pada suatu ketika
Kau kan datang menjadi tetamu
Hanya sekadar memerhati
Menjengah pelayaran hidup ini

Dan apabila tiba waktunya
Saat sampainya janji di Lauh Mahfuz
Sama ada kau diundang atau dibentak pulang
Kau kembali kepada kami sebagai tetamu yang sangat meminta
Dan kamilah pemberi paling dermawan
Memberi apa yang pernah kami ada
Meninggalkan dunia dan segala isinya

Wednesday, January 7, 2009

Khabar Al-Nakbar


Anakmu membesar untuk menentang
Di tanah yang bertuah menuntut jiwa yang merdeka
Kau bukan lahir sebagai hamba
Kau mewarisi keturunan dan moyang yang mulia

Bermulanya Al-Nakbar, 1948
Kau wariskan keturunan-keturunan pelarian
Merebaknya Al-Nakbar pada 1967
6 hari perjuangan
Lenyapnya 5 tanah warisan dari tangan

Khabarkan pada mereka
Semenanjung Gaza, Tebing Barat, Bukit Golan,Sinai
dan seluruh bumi Palestin ini
Ianya adalah milikmu dan asal warisanmu
Untuk anak-anak yang memuliakanmu di Baitulmuqaddis
Yang bersujud patuh di Al-Aqsa

Entah untuk berapa lama
2009, khabar Al-Nakbar kembali tiba
Mengusir anak-anak mu pergi dari dunia
Membawa jiwa mereka yang merdeka (benar-benar merdeka)
Selamanya

Friday, January 2, 2009

Berikan Sapu Tangan


Berikan kami sapu tangan
Dalam remang senja hari ini
Sebagai tanda rasa kasih
Tanda ada cinta menemani

Jiwa kami sarat rasa cinta
Setiap deru nafas yang bernyawa
Betapa beratnya memikul harapan
Betapa sebaknya menahan pertanyaan

Pada akhir senja hari ini
Sekali lagi kami bertanya
Apakah nanti ada jawapan yang pasti
Bisakah kan kami ketemui
Bagai apa yang diimpi

Berikan kami sapu tangan
Pada akhir kegelapan malam
Waktu mereka masih terlena
Sebagai teman yang sentiasa mengingati
Buat menyapu air mata yang mengalir

Monday, December 22, 2008

Saudara Kami Jutawan Melayu

Kau jutawan Melayu
Rumahmu tinggi di atas bukit, berjuta ringgit
Kenderaanmu selalu sahaja terlebih laju
Makan di atas set kristal, perak dan seramik luar negara
Baju berbutik sahaja kau ada

Kau jutawan Melayu
Teratak kami tak pernah kau tahu alamatnya
Kenderaan kami hanya penyendal jalan raya
Makanan kami tak pernah kau kenal rupanya
Kedai pukal butik pilihan kami

Manalah bisa kau terima hakikat;
Rumahmu berjuta ringgit menyembah bumi
Menumpang kenderaan tempatan kami
Makan nasi bungkus bagai PATI
Pakai baju sedekah kami

Manalah kami tahu betapa hinanya ditempatkan di hotel
berbintang sebagai tempat tumpang
Manalah kami tahu nasi bungkus mahal tidak lancar untuk
kau hadamkan
Manalah kami bisa tahu baju kami gatal dipakai
Manalah kami tahu, wahai saudaraku jutawan Melayu

Marilah,
Kita bersama di surau kami berganda besarnya dari masjidmu.

Monday, December 15, 2008

Aku dan Melayu Ku

Semalam ku lihat Melayu yang penuh senyuman
Berbekal salam sepanjang jalan
Tinggi lambaian setinggi hasrat dan harapan

Aku tak pernah sunyi
Sanak saudara keliling kampung
Aku dan Melayu ku, adik beradik beranak pinak
Aku adik, aku abang
Aku pakcik, akulah tok

Hari ini aku Melayu yang sunyi
Ramai Melayu ku tak kenal lagi bunyi beduk di masjid
Tak kenal lagi tiang bendul resam sendiri
Melayu ku mati berdiri

Melayu ku jadi kayu
Tukang ukur resam gasar ke badan sendiri
Ukir akidah berbunga khuldi

Friday, December 12, 2008

Menadah Bala

Malaysiaku hanya sehasta
Tak jauh dipandang mata
Kiri kanan depan belakang
Tumbuk rusuk sampai terlentang bungkang

Bukit dan gunung habis disondol
Yang tinggal tak lama nak gondol
Pasang siap nama pembangunan
Duit berkepok berguni di tangan

Roboh punah teriak gempita
Esok lusa orang dah lupa
Onar tulat siapa yang tahu
Hidup biar senang ke anak cucu (hidup?)

Senyum rakyat marhain tiada harga
Ini cerita orang-orang kaya
Kami tengok geleng kepala
Semacam menadah memohon bala

Hidup biar aman damai
Jangan sebab ada sedikit pandai, kita cuai
Hidup diberi hanya sementara
Mati cuma seinci di depan muka